SESI PEMBENTANGAN PENAMBAHBAIKAN TATAKELOLA BERHUBUNG AMALAN, SISTEM DAN TATACARA PENGURUSAN PUNGUTAN DERMA KHAIRAT
IPOH – Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) hari ini telah menerima Dokumen Syor Penambahbaikan Tatakelola daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak dalam satu sesi yang berlangsung di Kompleks Islam Darul Ridzuan.
Sesi khidmat nasihat daripada SPRM Perak ini merupakan satu langkah proaktif dan strategik dalam memperkukuh amalan, sistem dan tatacara pengurusan, khususnya melibatkan Garis Panduan Pungutan Derma Khairat (MAIPk) serta SOP di Bahagian Pendidikan dan Penguatkuasaan Syariah, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Hadir dalam sesi tersebut ialah Ketua Pegawai Pengurusan MAIPk, Tuan Haji Bakri bin Lee, Timbalan Pengarah JAIPk, Tuan Haji Saiful Azizi bin Abdul Manap dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Perak, Tuan Mohd Syahrul Ridzuan bin Yahya. Turut sama dalam majlis ini adalah pegawai-pegawai daripada MAIPk, JAIPk dan SPRM Perak.
Sebelum majlis melabuhkan tirainya, satu sesi menandatangani dan penyerahan Dokumen Syor Penambahbaikan Tatakelola Pengurusan Derma Khairat telah disempurnakan oleh MAIPk dan JAIPk.
MAIPk menzahirkan harapan yang tinggi agar penyerahan syor ini menjadi titik tolak yang signifikan ke arah transformasi tadbir urus yang lebih telus, dinamik dan berintegriti.








